Jumpa seorang kawan lama. Dia duduk KL sesekali balik kampung. Saya tegur dia tapi dia tanya “ kau kerja kat mana sekarang “. Saya cakap “ kerja berkebun je kat kampung “. Dia angguk-anggukan kepala. Dia tanya lagi “ harga kelapa sawit macam mana sekarang ? “. Saya tak jawab cuma tersenyum je sebab saya tak buat projek sawit. Mungkin dia ingat saya kerja kebun sawit.
Dia cerita projek juta-juta. Sekarang kerja kat KL jadi orang penting syarikat berpangkalan kat US katanya.
Projek ada kat indonesia, thailand dan banyak lagi. Katanya ada kilang produk kesihatan. Saya banyak berdiam dan mendengar sahaja. Nasib baik cepat isterinya berbelanja dikedai. Jadi kami bersurai. Dia macam nak tunjuk saya dia pakai kereta BMW baru. Saya menyapa “ cantik kereta. Boleh pinjam”. Bangga dia masuk kereta bila orang kampungnya cakap macam tu. Itu adalah penghargaan dia telah berjaya.
Bila keretanya berlalu, ada stiker syarikat jualan langsung rupanya. Itu projek juta-juta tu. Tapi tak berapa kenal sangat syarikatnya. Baru kot. Rasa ketinggalan
Beberapa hari lalu ada seorang pemuda berjumpa saya. Kali ini mengadu yang dia rasa ketinggalan dengan kawan-kawannya. Dia berumur 26 tahun. Dia tak habis belajar di universiti ketika #covid19. Jadi dia baru nak mulakan projek pertanian dikampungnya.
Saya juga banyak berdiam mendengar ceritanya. Dia bercerita yang dia malu dengan kawan-kawan dan saudara mara. Kawan sekolahnya telah jadi jurutera dan ada yang jadi doktor. Dia gagal dan hanya dikampung.
Saya terpaksa bercerita
Biasanya saya akan biarkan pengalaman mengajar hidup kita. Satu soalan sahaja saya tanyakan dia “ awak nak jadi apa ? “. Dia terus terdiam.
Kalau awak nak jadi doktor dah tak boleh kecuali esok awak masuk balik universiti dan belajar bidang tu. Awak nak jadi jurutera pun tak boleh sebab awak tak ada sijil. Jadi awak nak jadi apa?. Kenapa kejayaan dibandingkan dengan orang lain?.
“Hidup ni macam pokok. Kalau awak tanam melon dapatnya melon. Ada juga pokok ikut awak tanam bila, cepat awak tanam cepatlah awak dapat hasilnya.”.
Dia tak faham ..
“ awak tengok sekeliling ni. Banyak pokok. Ada pokok getah, ada pokok kelapa, ada pokok pisang, ada keladi. Semuanya buahnya lain-lain. Tak boleh awak toreh pokok kelapa nak dapat getah. Nak makan goreng pisang awak kena tanam pisang, baru dapat pisang “.
Hidup ni fokus dengan landasan yang kita pilih. Buat apa kejar kejayaan orang lain. Awak tengok pokok pun banyak pelbagai pokok. Ada yang lambat berbuah, ada yang cepat berbuah. Kalau semua pokok sama, dunia ni boring.
Entahlah budak tu faham ke tidak saya cakap. Tapi saya tepuk bahunya dan saya cakap “ jangan jadi orang lain. Awak ada potensi awak sendiri . Kalau nak jadi petani biar sampai kaya raya “. Saya nampak dia tersenyum, tapi masih duduk dikerusi yang sama termenung panjang melihat melon-melon ku yang bergayut-gayut.